Jom Terjah ~^^~

Saturday, February 12, 2011

Kisah cinta Nabi Isa as kepada ibunya~~

"Sesunguhnya ini adalah kampung yang akan musnah dan sesungguhnya akhirat itu adalah kampung yang kekal, oleh itu marilah ibu bersama saya?". Menurut Misykaatul Anwaari menerangkan bahawa Nabi Isa a.s. telah
berkata kepada ibunya Maryam

Setelah Nabi Isa a.s. berkata demikian pada ibunya maka
berangkatlah Nabi Isa a.s. bersama dengan ibunya menuju ke
Gunung Lebanon, apabila sampai di gunung tersebut maka Nabi Isa
bersama ibunya berpuasa pada siang hari dan mendirikan solat
pada malam hari. Makanan mereka terdiri dari pohon kayu dan
meminum air hujan.


Setelah sekian lama nabi Isa a.s. dan ibunya Maryam tinggal di
Gunung Lebanon maka suatu hari Nabi Isa a.s. turun dari gunung
untuk mencari daun kayu untuk berbuka puasa untuk mereka berdua.
Setelah Nabi Isa a.s. turun maka datanglah malaikat maut
menghampiri Maryam dengan berkata : "Assalamualaiki ya Maryam,
orang yang sangat patuh mengerjakan puasa pada siang hari dan
mengerjakan solat pada malam hari".

Sebaik sahaja Maryam melihat orang yang memberi salam itu maka
berkata Maryam : "Siapakah kamu ini? badan dan seluruh
anggotaku menggeletar dan rasa takut pula apabila mendengar
suaramu!?.

Kemudian Malaikat Maut berkata : "Aku adalah malaikat yang tidak
mempunyai belas kasihan kepada sesiapun baik dia anak kecil,
orang tua, atau sebagainya sebab aku adalah malaikat pencabut
nyawa".

Mendengar akan penjelasan dari Malaikat Maut itu maka Maryam
berkata : "Wahai Malaikat Maut, adakah kedatangan kamu ini untuk
menziarah aku atau untuk mencabut nyawa aku?"
Lalu berkata Malaikat Maut : "Wahai Maryam, kedatangan aku
adalah untuk mencabut rohmu".

Apabila Maryam mengetahui bahawa Malaikat Maut datang untuk
mencabut nyawanya maka berkata Maryam : "Wahai Malaikat Maut,
apakah kamu tidak mahu memberikan peluang sehingga anakku pulang,
kerana dia yang menjadi buah indah mataku, yang menjadi anak
kasih sayangku, yang menjadi buah hatiku, yang menjadi penawar
mengubati kerisauan hatiku?".

Malaikat Maut pun menjelaskan perintahnya dengan berkata : "Wahai
Maryam, sebenarnya aku tidak diperintahkan menurut perintah kamu,
aku ini hanyalah hamba yang diperintah".

"Dan demi Allah aku tidak akan mencabut nyawa walaupun seekor
nyamuk kalau aku tidak diperintahkan, sesungguhnya aku telah
diperintahkan oleh Allah SWT supaya aku tidak mensia-siakan
walau satu saat pun untuk mencabut rohmu ditempat ini".

Setelah Maryam mendengar penjelasan dari Malaikat Maut maka
dengan hati yang ikhlas Maryam berkata : "Wahai Malaikat Maut,
kamu telah menerima perintah Allah SWT, oleh itu kamu
laksanakanlah perintah itu dengan segera".

Malaikat Maut mendekati Maryam dan mencabut rohnya, kebetulan
pula di masa itu Nabi Isa a.s. lambat pulang, beliau pulang
apabila waktu Isyak yang akhir, setelah Nabi Isa a.s. naik ke
atas gunung dengan membawa bekalan untuk berbuka puasa maka
beliau melihat ibunya sedang berada di tempat solat, Nabi Isa a.s.
menyangka bahawa ibunya sedang sembahyang. Maka beliau pun
meletakkan daun-daun yang dibawa untuk berbuka puasa dan
meletakkannya dekat ibunya lalu beliau berdiri menghadap Kiblat.

Setelah sekian lama maka beliau pun memanggil ibunya :
"Assalamualaiki ya ibu, waktu malam telah tiba dan orang yang
berpuasa telah berbuka dan telah berdiri orang yang beribadah,
mengapa ibu tidak beribadah kepada Tuhan Yang Maha Pengasih?".

Nabi Isa a.s. menyangka ibunya sedang tidur lalu beliau berkata :
"Sesungguhnya dalam tidur itu terdapat kelazatan?" .
Nabi Isa memandang ke tempat ibunya dan didapatinya ibunya
tidak makan apa-apa walaupun 2/3 malam telah berlalu.




Nabi Isa a.s. memanggil lagi ibunya : "Assalamualaiki Yaa
Ummaahu?" Oleh kerana hari telah menjelang fajar maka ibunya
tidak bangun lagi maka beliau pun menghampiri ibunya, lalu
beliau meletakkan pipinya pada pipi ibunya dan meletakkan mulutnya
pada pipi ibunya dengan menangis yang kuat beliau berkata :
"Assalamualaiki yaa Ummaahu, malam telah berlalu dan fajar telah
menjelma, ini adalah masa untuk menunaikan fardhu yang telah
di wajibkan oleh Tuhan Yang Maha Pengasih".

Setelah Nabi Isa a.s. berkata demikian maka menangislah para
malaikat di langit dan para jin yang berada di sekitarnya dan
bergoncanglah gunung di bawahnya. Kemudian Allah SWT wahyukan
kepada para malaikat yang bermaksud : "Apakah yang menyebabkan
kamu semua menangis"?.

Maka berkata para malaikat : "Tuhan kami, Engkau Maha Mengetahui".

Lalu Allah SWT wahyukan lagi yang bermaksud : "Sesungguhnya Aku
Maha Mengetahui dan Aku Maha kasih Sayang".
Setelah itu dgn tiba-tiba kedengaran satu suara yang berbunyi :
"Wahai Isa a.s. , angkatlah kepalamu itu, sesungguhnya ibumu itu
tlh meninggal dunia dan Allah SWT telah melipatgandakan pahalamu.

Sebaik sahaja Nabi isa a.s. mendengar suara tersebut maka baginda
pun mengangkat kepala sambil menangis lalu berkata : "Siapakah
yang akan menjadi temanku di waktu aku sunyi dan di waktu aku
menangis, dan dengan siapakah dapat aku ajak berkata-kata, dan
siapa pula yang dapat membantu aku dalam ibadahku?".

Kemudian Allah SWT mewahyukan pada gunung yang bermaksud : "Wahai
gunung, nasihatilah Rohku (Isa a.s.)".
Setelah gunung menerima wahyu maka berkatalah gunung : "Wahai
Roh Allah (Isa a.s.) apakah erti kesusahanmu itu, ataukah kamu
mahu Allah sebagai pendampingmu yang menggembirakan?"

Setelah Nabi Isa a.s. mendengar kata-kata gunung maka turunlah
beliau ke sebuah desa tempat tinggal Bani Israil, maka berkata
nabi Isa a.s. : "Assalamualaikum yaa Bani Israil".

Apabila kaum Bani Israil melihat ada orang memberi salam maka
mereka pun berkata : "Siapakah kamu ini wahai hamba Allah?
Cantik sekali wajahmu dan telah menyinari rumah-rumah kami".

Lalu Nabi Isa a.s. berkata : "Aku adalah Isa a.s., ibuku telah
meninggal dunia, oleh itu tolonglah aku untuk memandi,
mengafankan dan memakamkan ibuku".

Maka berkata kaum Bani Israil : "Wahai Isa a.s., di atas gunung
itu terlampau banyak ular yang besar-besar dan bermacam-macam
ular yang belum pernah kami lihat dan tidak pernah dilalui oleh
para orang tua kami dan nenek moyang kami sejak 300 tahun".

Setelah Nabi isa a.s. mendapati bahawa mereka tidak mahu
menolongnya maka baginda pun naik semula ke atas gunung. Sebaik
sahaja baginda naik, maka baginda terpandang ada dua pemuda
yang sangat cantik rupa parasnya. Lalu Nabi Isa a.s. memberi
salam dan dibalas salam oleh kedua pemuda itu.

Kemudian Nabi Isa a.s. berkata : "Wahai pemuda, sesungguhnya
ibuku telah meninggal dunia. Oleh itu aku mohon kepada kamu
berdua supaya dapat menolong aku untuk menguruskannya".

Lalu berkata salah seorang dari pemuda itu : "Aku ini sebenarnya
adalah Malaikat Mikail dan sahabat saya yang satu lagi ialah
malaikat Jibril".

Kemudian Malaikat Mikail mengeluarkan barang-barang yang
dibawanya dengan berkata : "Ini adalah ubat tubuh dan kain kafan
dari Tuhanmu. dan para bidadari jelita sekarang sedang turun dari
syurga untuk memandi dan mengafankan ibumu".

Setelah Malaikat Mikail berkata demikian maka Malaikat Jibril pun
menggali kubur di atas gunung itu. Setelah selesai segala kerja
memandi dan mengafan dilakukan oleh para bidadari, dan setelah
selesai di solatkan maka mereka bertiga pun mengebumikan dalam
kubur.

Setelah selesai maka Nabi Isa a.s. un berdoa kepada Allah SWT :
"Ya Allah, sesungguhya Engkau mengetahui tempatku dan Engkau
mendengar kata-kataku dan tidak sedikitpun urusanku yang
bersembunyi bagi Engkau, ibuku telah meninggal dunia sedang aku
tidak menyaksikannya di waktu ia wafat. Oleh itu izinkan dia
berkata sesuatu kepadaku".

Kemudian Allah mewahyukan kepada Nabi Isa a.s. yang bermaksud :
"Sesungguhnya Aku telah memberi izin kepadanya".
Setelah Nabi Isa a.s. menerima wahyu dari Allah SWT maka baginda
pun pergi kekubur ibunya lalu berkata : "Assalamualaiki ya ibu,
bagaimanakah dengan tempat pembaringanmu dan tempat kembalimu dan
dan bagaimana pula kedatangan Tuhanmu (Tuhanku)?"

Berkata ibunya : "Tempat pembaringanku adalah sebaik-baik tempat
pembaringan, dan tempat kembaliku adalah sebaik-baik tempat
kembali, sedang aku mengadap kepada Tuhanku, aku tahu bahawa
dia telah menerimaku dengan rela".

Berkata Nabi Isa a.s. : "Wahai ibu bagaimana rasa sakitnya ketika
mati?".

Berkata ibu Nabi Isa a.s. : "Demi Allah yang telah mengutusmu
sebagai Nabi dengan sebenar-benarnya, belum hilang rasa pedihnya
mati, demikian juga dengan rupa Malakat Maut belum lagi hilang
dari pandangan mataku. Alaikas salam wahai kasih sayangku sampai
hari kiamat".

No comments:

Post a Comment